Thursday, December 12, 2019

LOMBONG MAMUT

PENGENALAN PERLOMBONGAN MAMUT, RANAU SABAH

        Kegiatan perlombongan di Mamut, Ranau bermula pada tahun 1975 dan ia menjadi penyumbang terbesar kepada ekonomi negara kerana tembaga mempunyai nilai yang tinggi. Walaubagaimanapun, perlombongan tersebut ditutup pada bulan Oktober tahun 1999 berikutan harga logam yang rendah dan hakisan batu serta saiz lokasi perlombongan telah mencapai hadnya. Ia juga terletak 16 kilometer daripada pekan Ranau, tempat ini boleh dihubungi melalui jalan berturap pada 3 kilometer pertama dan seterusnya jalan gravel (berkelikir) hingga ke tapak bekas lombong berkenaan dengan menggunakan kenderaan pacuan 4 roda, kenderaan bertayar besar, motorsikal serta kenderaan kecil pada kelajuan rendah. Aktiviti perlombongan yang dijalankan mengakibatkan perubahan fizikal bentuk muka bumi, seperti lubang besar. Sisa-sisa buangan lombong seperti logam berat menyebabkan pencemaran tanah dan air yang mana logam berat tersebut mengalir masuk ke dalam air dan  menyebabkan keadaan bertoksik.

        Saiz pajakan untuk aktiviti perlombongan tembaga tersebut adalah berkeluasan 1090 hektar dan jika dicampur sekali dengan luasnya pembuangan sisa sampah aktiviti adalah mencapai keluasan kira-kira 2000 hektar. Dianggarkan bekas lombong tembaga Mamut menakung kira-kira 20.6 juta meter padu air yang berasid. Dinding lombong dedah itu terdiri daripada batuan jenis granit yang keras, kukuh dan tebal dan ekoran itu, sebarang kejadian gempa bumi berukuran di bawah lapan pada skala Richter tidak akan memberikan sebarang impak ke atas struktur dinding lombong dedah berkenaan.

Peta Lombong Mamut, Ranau Sabah


Gambar rajah proses mendapatkan koordinat dari puncak lombong Mamut

Ketinggian dari puncak kawasan lombong Mamut adalah berketinggian 1592 M mengikut bacaan yang diambil mengikut batu Bench Mark (batu ukur) dari paras laut serta berkoodinat 6°125N dan 116°3946 E.




Kerja lapangan dibimbing oleh dua orang wakil daripada Jabatan Mineral dan Geosains Sabah


KESAN AKTIVITI PERLOMBONGAN TEMBAGA

1. Kewujudan lombong dedah dengan tanah dan air berasid

       Kesan buruk perlombongan adalah penghasilan saliran asid lombong atau acid mine drainage (AMD). Ia terhasil apabila mineral yang mengandungi sulfida mengalami beberapa siri tindak balas setelah terdedah kepada air dan oksigen. Kebiasaannya, AMD menunjukkan ciri-ciri pH yang rendah, kadar keasidan yang tinggi serta kepekatan sulfat yang tinggi. Tanah yang terdedah kepada AMD akan menyebabkan kadar pertumbuhan sesuatu tumbuhan terbantut. Tambahan, daya tekanan air yang ditakung dalam lombong dedah itu semakin lemah kerana paras takungan air di dalamnya itu semakin berkurangan iaitu daripada lebih 100 meter kepada hanya kira-kira 80 meter.Tahap keasidan AMD yang terkandung dalam bekas lubang adalah antara 2 hingga 4 pH yang mana 14m di bahagian atasnya adalah berasid manakala di bahagian bawah adalah neutral. Hal ini menyebabkan tiada hidupan akuatik yang mampu hidup dan menjadikannya sebagai habitat. Jabatan Mineral dan Geosains telah mengambil langkah untuk meneutralkan AMD melalui bahan seperti batu kapur, hampas kelapa sawit, tahi ayam serta kompos cendawan.


Antara logam berat yang menyumbang kadar keasidan yang tinggi kepada AMD ialah Ferum (Fe), Mangan (Mn), Zink (Zn) dan Aluminium (Al). Mineral yang terdapat di Kawasan perlombongan biasanya ialah pirit (FeS2). Pembentukan AMD terhasil seperti berikut:

             FeS2(s) + 7/2 O2  + H2O à   Fe+2 + 2 SO4-2. + H+  (persamaan 1)

             Fe+2 + ¼ O2 + H+  à   Fe+3  + ½ H2O (persamaan 2)

             Fe+3  + 2H2O à   FeOOH(s) + 3 H+ (persamaan 3)

Proses ini bermula dengan pengoksidaan pirit dan secara tidak langsung ianya membebaskan ion ferus (Fe+2),  sulfat (SO4-2) dan hidrogen (H+). Proses pengoksidaan sulfide dipercepatkan dengan kehadiran bakteria Thiobacillus dan Ferroplasma. Ion ferus seterusnya dioksida menjadi ion ferik (Fe+3). Akhirnya, ion ferik (Fe+3) tersebut akan bertindak balas dengan air untuk membentuk hidrosida ferik (FeOOH), iaitu mendakan berwarna jingga serta membebaskan ion hidrogen yang akan menyebabkan kenaikan kadar asid . Pembentukan FeOOH bergantung kepada kadar pH dan bertindak secara pantas pada pH melebihi empat.


Rajah menunjukkan saliran asid lombong (AMD) di lobong Mamut, Ranau Sabah

2. Pergerakan Jisim



Gelansaran Tanah
Gelenseran tanah yang terjadi di Lombong Mamut melibatkan pergerakan bahan-bahan tanah dan batu tongkol di cerun-cerun landai 2 darjah hingga 3 darjah di kawasan iklim sejuk. Bahan-bahan pergerakan ini terutama batu tongkol atau serpihan batu dan tanih adalah hasil proses-proses luluhawa. Ketiadaan litupan bumi di permukaan cerun-cerun beserta air hujan menggalakkan pergerakan bahan. Permukaan bumi yang beku dan keras menjadi licin lalu menggalakkan pergerakan bahan di sepanjang cerun-cerun landai.


Hakisan dinding lombong

Hakisan dinding Lombong Mamut terjadi apabila isu padu air takungan di dalam lombong tersebut meningkat. Isi padu air akan meningkat apabila terjadinya hujan atau kerpasan. Dengan berlakunya hujan maka paras air akan meningkat dan ia akan mengakibatkan berlakunya  hakisan pada dinding lombong mamut. Permukaan lombong juga akan menjadi semakin luas kerana proses hakisan berlaku secara berterusan di dinding lombong ini.


Runtuhan
Pergerakan jenis ini pula melibatkan pergerakan puin-puin dan bongkahan batu secara tiba-tiba di cerun Lombong Mamut, seperti di tebing tinggi. Terdapat dua jenis runtuhan iaitu runtuhan batu dan runtuhan puin.
i. Pergerakan jisim jenis runtuhan batu biasanya disebabkan struktur batuan yang telah menjadi lemah akibat proses-proses luluhawa dan pelbagai aktiviti manusia. Tarikan graviti penting terhadap pergerakan jenis ini. Runtuhan ini biasanya mengandungi pelbagai saiz dan bentuk batu. Apabila ia terjatuh akan terlonggok membentuk kun talus di kaki-kaki tebing tinggi atau kaki gunung.
ii. Pergerakan runtuhan puin pula melibatkan pergerakan serpihan batuan di cerun-cerun curam seperti di tebing tinggi. Pergerakan ini mungkin merupakan kesinambungan dari proses geluncuran puin di cerun-cerun yang lebih landai.


Rajah 2 : Hakisan di kawasan bukit

Hakisan disebabkan hujan.
Ini dikaitkan hakisan akibat daripada hujan yang berlaku di Lombong Mamut dimana di permukaan atas lombong terdedah kepada hujan. permukaan lombong tidak diliputi dengan tumbuh-tumbuhan yang mana tumbuhan yang menjadikan struktur tanah menjadi kuat dengan adanya akar-akar tumbuhan. Apabila turunya hujan akan menyebabkan terjadi larian air permukaan dan air hujan ini akan menyebabkan segala bahan yang terdapat di permukaan bumi akan di angkut dan masuk ke dalam lombong ini. Ini juga terjadi akibat daripada adanya tarikan graviti di bumi.




Hakisan Galir
Bahan –bahan tanih dihakis dan diangkut bersama air dari bahagian atas cerun lombong ke bawah cerun menerusi alur-alur kecil. Alur-alur kecil ini bersifat sementara dan akan hilang dalam tempoh yang singkat.

 Hakisan galur
 Bahan –bahan tanih dihakis dan diangkut bersama air dari bahagian atas cerun ke bawah cerun lombong menerusi alur-laur yang luas. Alur-alur ini bersifat kekal dan menjadi asas kepada pembentukan sungai.



Jenis - Jenis Batuan Di Lombong Mamut

Lapisan kerak bumi atau litosfera terbentuk daripada batuan. Batuan ialah jasad pejal semulajadi yang mengandungi satu atau lebih mineral. Batuan dibahagikan kepada tiga  kumpulan utama: igneus, sedimen dan metamorf, ianya bergantung kepada proses pembentukannya dan ciri-ciri seperti kandungan mineral dan tekstur juzuk-juzuknya. Batuan telah digunakan semenjak kewujudan manusia bermula sebagai peralatan dan kini digunakan sebagai bahan binaan serta industri. Antara batuan yang didapati di sekitar lombong mamut seperti :


Rajah 1: Serpentinit
Serpentinit ialah batuan igneus lampau-basik yang terdiri daripada satu atau lebih mineral kumpulan serpentin yang biasanya berwarna hijau gelap. serpentinit digunakan sebagai batu hiasan dalam senibina. Mempunyai kandungan silika rendah kurang dari 45%. Ia mempunyai kandungan mineral utamanya iaitu serpentin, hornblend, besi oksida, mika dan kadang kala dengan garnet. Teksturnya yang kasar tetapi mempunyai warna yang menarik akibat kehadiran mineral berwarna seperti olivin (hijau), mika (putih berkilat), besi oksida (hitam, merah dan perang) dan garnet (pelbagai).


Rajah 2: Pyrite (FeS2)
Pyrite merupakan mineral biasa yang mengandungi unsur besi dan sulfur. Dikenali juga sebagai ‘emas tipu’ disebabkan persamaan rupa fizikal dengan emas terutamanya warna kuning gangsa dan kilauan logam. tidak seperti emas, pyrite adalah keras dan membentuk goresan hitam-kehijauan bila digores ke atas sekeping tembikar putih. ia tidak boleh dikikis dengan pisau sedangkan emas yang lebih lembut boleh dikikis. Pyrite wujud di pelbagai persekitaran geologi dan selalunya berasosiasi dengan bijih besi yang lain.



Rajah 3: Quartzite
Quartzite berasal dari batuan jenis batu pasir cuma ia telah mengalami proses penstrukturan semula mineral akibat dari tekanan dan haba yang diberikan semasa proses metamorf. Ia mempunya saiz butiran yang sederhana kasar dan tekstur yang halus akibat pemampatan hablur mineral. Ia mengandungi banyak kuarza dengan sedikit felspar, mika dan mineral surih. Warnanya putih, perang, kelabu dan merah jika banyak mineral sampingan. Dijumpai di kawasaan yang pernah mengalami proses pemendakan dan proses penyesaran atau pemampatan kerak bumi.



Rajah 4: Sandstone
Batu pasir juga dikenali sebagai arenit. ia ialah batuan sedimen klastik yang terdiri daripada kuarza, feldspar dan serpihan batuan. Butiran bersaiz pasir berjulat daripada 0.0625 mm hingga 2 mm. Batu pasir ialah satu daripada batuan dan warna yang paling biasa ialah putih atau putih kekuningan, kelabu kebiruan, kelabu dan perang


Rajah 5: Andesite
Andesite ialah batuan igneus volkanik berbutiran halus berwarna kelabu hingga kelabu gelap. Mineralnya terlalu halus untuk dikenal pasti dengan mata kasar, kecuali fenokris iaitu amfibol. Kandungan mineralnya adalah feldspar plagioklas terutama andesin yang merupakan satu-satunya mineral penting. Mineral sampingan ialah piroksen, biotit dan kuarza. Andesit biasanya digunakan sebagai batu dimensi dan agregat batuan.













1 comment:

  1. Tidak ada kah mineral lain dalam batuan serpentinit, seperti Nikel?

    ReplyDelete